26 Disember 2012
KEMPLING JAWA DIHIDUPKAN SEMULA DALAM MAJLIS KHATAN
LEDANG 25 Dis. - Persembahan kempling Jawa yang menjadi tradisi dalam
majlis khatan beramai-ramai di daerah itu satu masa dahulu kini
dihidupkan semula di Taman Bandar Baru Bukit Gambir, dekat sini,
baru-baru ini.
Biasanya persembahan kumpulan dengan alatan muzik tradisional itu
diadakan pada sebelah malam serta dimeriahkan lagi dengan upacara
menepung tawar dan kenduri melibatkan penduduk setempat dalam suasana
penuh kekeluargaan.
Program tersebut sebagai satu simbolik masyarakat Jawa untuk meraikan
anak-anak mereka yang bakal menempuh alam dewasa sebelum dikhatankan
beramai-ramai keesokan paginya.
Jawatankuasa penduduk taman berkenaan menghidupkan semula tradisi itu
dengan memilih 16 kanak-kanak bertuah dalam satu majlis yang dirasmikan
Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri.
Pengerusi program, Abdullah Mohamed berkata, Perkumpulan Kempling
Kampung Parit Kassan itu mengembalikan nostalgia kerana zaman dahulu ia
sangat sinonim dengan majlis-majlis berkhatan.
Menurutnya, program berkenaan diharap dapat meneruskan tradisi lama
yang kian dilupakan selain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim
dan membentuk satu komuniti yang bersatu padu.
"Secara tidak langsung penduduk melakukan kerja secara
bergotong-royong bagi menjayakan majlis ini termasuk mendirikan khemah,
memasak dan menyertai program sehingga selesai.
"Kanak-kanak terlibat kemudian dikhatankan di Klinik Kesihatan Bukit
Gambir dan program ini amat mendapat sambutan ibu bapa," katanya ketika
ditemui dalam majlis itu di balai raya taman tersebut.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Johor/20121226/wj_03/Kempling-Jawa-dihidupkan-semula-dalam-majlis-khatan#ixzz2G9r59Hwd
© Utusan Melayu (M) Bhd
17 November 2012
KEMPLINGAN MALAM REWANG DI RUMAH ABD RAHMAN (ARWAH HJ SALLEH)
Pada 17 November 2012, Perkumpulan Kempling Parit Kassan telah mengadakan persembahan pada malam rewang sempena perkahwinan anak arwah Hj Salleh Hj Sahari di rumah Abd Rahman Jalal (menantu arwah).
Gambar sekitar persembahan ini boleh juga dilihat di Facebook Perkumpulan Kempling Parit Kassan di : sini
28 Februari 2012
22 Mac 2011
KEMPLINGAN DI BANDAR BARU BUKIT GAMBIR
PADA 19 Mac 2011 Perkumpulan Kempling Parit Kassan mengadakan persembahan di Bandar Baru Bukit Gambir pada malam rewang di rumah Encik Budiman Kamari dan Puan Siti Rosita Hussein sempena majlis perkahwinan anak perempuan mereka.
20 Mac 2011
SHOOTING RANCANGAN WARISAN BERZAMAN TV1
Pada 16 dan 18 Mac lalu, krew penerbitan program Warisan Berzaman untuk siaran TV1, Anugerah Media Network Sdn Bhd yang diketuai penerbitnya, Haji Roslan Kassim mengadakan penggambaran majlis rewang dan kenduri kahwin di rumah Wak Misuan Abu. Krew AMN turut membuat penggambaran pembuatan kuih tradisional di rumah Pn Asiah Kamis. Pada sebelah malamnya diadakan penggambaran permainan kumpulan kempling. Program itu dihostkan pelakon Ungku Ismail Aziz.
18 Oktober 2010
SENI CEMPOLING
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
SENI cempoling dimainkan oleh pemain alat muzik dari pelbagai latar belakang dan usia.
Pendekatan dakwah Wali Songo dihidupkan kembali
MUZIK dalam konteks budaya pop selalu dikaitkan sebagai hiburan yang melalaikan sehingga menjadikan artis sebagai idola dan lagu sebagai ruang untuk melepaskan perasaan, tetapi sejarah Nusantara mencatatkan muzik dimanfaatkan sebagai bahan dakwah bukan semata-mata oleh pendakwah biasa, bahkan Wali Songo yang terkenal di Indonesia.
Tazkirah semata-mata mungkin membosankan pendengar apatah lagi masyarakat yang belum memeluk Islam dan apabila wali berkenaan melihat tanda kebosanan pendengar atau khalayak mula beransur-ansur meninggalkan gelanggang dakwah itu, wali itu pun memainkan muzik seni cempoling.
Justeru, tidak hairanlah istilah seni cempoling itu sendiri merakam dan menggambarkan senario uslub dakwah Wali Songo terbabit apabila ia digabungkan daripada perkataan cem, pol dan iling-iling atau iling.
Cem bermaksud bermacam-macam yang boleh ditafsirkan sebagai pemain alat muzik itu dari kalangan mereka yang mempunyai kepelbagaian latar seperti petani, peneroka dan pendakwah, manakala alat yang digunakan juga bervariasi daripada sudut saiz atau jenisnya.
Pul pula bermakna pelbagai jenis manusia berkumpul dan iling-iling yan dipendekkan kepada iling dalam bahasa Jawa bermaksud ingat-mengingat diri sendiri, ahli kumpulan dan masyarakat atau dalam istilah agama, ialah muhasabah dan tazkirah.
Seni cempoling menggunakan sembilan alat muzik, iaitu gong ibu dan gong anak yang sebenarnya bersaiz besar tetapi berbeza daripada sudut ketebalannya; kempul dan kempreng yang bentuknya lebih kecil daripada gong; gendang abang dan gendang adik yang tidak jauh bezanya dengan gendang gamelan atau silat untuk menghasilkan bunyi yang bertingkah antara satu sama lain dan eteng-eteng abang serta adik.
Alat kesembilan ialah tamborin sebagai ganti kepada marakas atau khas-khas kerana orang Jawa dulu menggunakan alat muzik yang diperbuat daripada labu air yang isinya dibuang tetapi kulitnya diambil.
Sejarah unik itu dikongsi oleh pengasas Warisan Wong Kampung (WAK), Dr Ibrahim Ghaffar, yang menjadi orang yang bertanggungjawab menghidupkan kembali seni cempoling yang semakin tenggelam dalam arus kemodenan selepas seni berkenaan dibawa masuk ke negara ini seawal 1928.
Dr Ibrahim berkata, peneroka yang berasal dari tanah Jawa meneroka kawasan hutan atau teruko untuk dijadikan kebun, kampung dan akhirnya menjadi pekan di Semenanjung Tanah Melayu termasuklah Kampung Bukit Kapar, Meru, Klang.
"Masyarakat Jawa meneroka hutan untuk mencari kehidupan atau sandang tangan yang dalam bahasa Melayu bermakna mencari pakaian dan kehidupan, manakala pada waktu malam pula, mereka berkumpul untuk berhibur sambil beriling-iling dengan lagu yang diambil daripada surah berzanji.
"Ia dipanggil lagu selawatan yang berasal daripada perkataan selawat kepada nabi junjungan dengan surah berzanji itu sebagai induk yang kemudian diubah suai dengan lagu yang membawa nasihat tetapi masih dalam bahasa Jawa kuno," katanya kepada Sastera di Kampung Bukit Kapar, Meru, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Dr Ibrahim berkata, lama-kelamaan seni cempoling hilang ditelan zaman sehingga generasi pertama yang hidup dengan seni itu kembali ke Rahmatullah dan generasi seterusnya tidak lagi pandai menggunakannya tetapi ada di kalangan mereka yang masih terikat dengan seni berkenaan.
"Pada dekad 1980-an, saya bersama guru lulusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencungkil kembali tetapi oleh sebab generasi pertama sudah meninggal dunia, kami terpaksa bersusah sedikit untuk mencari balik dan membaik pulih alat muzik masa itu, selain memberikan motivasi kepada anak muda untuk mempelajarinya.
"Selepas anak muda termasuk saya sendiri belajar seni cempoling, kami menghidupkannya dengan nama baru, iaitu Siri Cempuling Era Baru Kampung Bukit Kapar, manakala lagunya pula diubah suai kepada lagu dalam bahasa Melayu tetapi tidak meninggalkan lagu asal, iaitu selawatan dan lagu dalam bahasa Jawa," katanya.
Seni cempoling tidak hanya diberikan nafas baru di Meru, bahkan ia kembali hidup di kawasan penepatan masyarakat Jawa di negara ini seperti di Batu Pahat, Johor dan Bagan Datoh, Perak, selain ia Kampung Bukit Kapar kekal menjadi pusat di Selangor tetapi disebarkan sehingga Banting, Sepang dan Sabak Bernam.
Puncak kejayaan mereka apabila seni cempoling yang dibawa masuk masyarakat Jawa itu kembali ke gagang atau tanah leluhur apabila Siri Cempuling Era Baru Kampung Bukit Kapar mempersembahkan seni itu di Solo, Indonesia pada 1988 dan 1993, selain pernah dibawa ke Medan dan Riau di Sumatera serta Thailand.
"Apabila masyarakat di Indonesia mendengarnya, mereka dapat menikmati iramanya tetapi agak terperanjat apabila mendengar seni kata yang dilagukan dalam bahasa Melayu.
"Bagaimanapun, tiada yang mendakwa kita yang datang bersama-sama Majlis Kebudayaan Negeri Selangor itu, memplagiat atau merampas seni cempoling, sebaliknya berasa bangga kerana kesenian warisan dari tanah leluhur semakin berkembang," katanya.
SUMBER: BERITA HARIAN, 15 SEPTEMBER 2010
Langgan:
Catatan (Atom)











