24 Jun 2014

KEMPLINGAN SEMPENA KMJ 2014


KUMPULAN muzik kemplingan membuat persembahan sempena Kembara Mahkota Johor 2014 di tapak Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 23 Jun - Kemplingan iaitu muzik kesenian masyarakat Jawa yang hanya terdapat di daerah ini merupakan antara persembahan istimewa dalam program Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2014 di sini hari ini.

Muzik tersebut dimainkan semasa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bersama-sama rombongan mencemar duli bertemu rakyat di tapak Terminal Bas dan Teksi Bukit Gambir, sebagai satu destinasi KMJ 2014 di sini.

Persembahan muzik itu dimainkan Perkumpulan Kempling Parit Kassan bersama-sama kumpulan gamelan semasa mengiringi majlis kurniaan bungkusan kepada golongan memerlukan yang disempurnakan Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.

Timbalan Pengerusi Perkumpulan Kemplingan Parit Kassan, Mohd. Janis Abu Bakar melahirkan rasa terharu dan bertuah kerana terlibat dalam sambutan yang dibuat dua bulan lalu.

"Walaupun membuat persembahan yang singkat, namun kami tetap teruja apabila dapat memperkenal kesenian masyarakat Jawa kepada orang ramai yang terdiri daripada berbilang bangsa pada KMJ 2014," katanya ketika ditemui.

Mohd. Janis berkata, kumpulannya antara yang masih aktif memelihara kesenian itu di daerah ini dan turut dianggotai golongan muda berharap muzik tradisional berkenaan terus kekal ditelan arus moden.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ledang, Ab. Han Ramin berkata, rombongan KMJ 2014 sememangnya amat dinantikan semua lapisan rakyat di sini dan melambangkan kasihnya baginda kepada penduduk Ledang.

Katanya, bertepatan dengan tema kembara iaitu Gaya Hidup Sihat, pentadbiran daerah dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Ledang melancarkan Kempen Ledang Bebas Asap Rokok di Felda Sri Jaya, Bukit Serampang dekat sini.

"Mengambil konsep pengangkutan yang digunakan baginda dalam kembara ini, kami turut menyediakan beberapa perkhidmatan bergerak disediakan agensi kerajaan merangkumi kesihatan, keselamatan dan perkhidmatan perhubungan yang membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan," katanya.

Ab. Han berkata, program KMJ 2014 itu sedikit-sebanyak dapat mempromosikan kawasan tersebut kepada pengunjung luar selaras dengan hasrat untuk merealisasikan daerah Ledang sebagai daerah pelancongan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 24 JUN 2014


Tiada ulasan: